ISTANBUL, 23 FEB (BERNAMA-ANADOLU): Somalia pada Isnin mengutuk serangan maut di Zamfara barat laut Nigeria yang membunuh sekurang-kurangnya 50 orang awam selain wanita dan kanak-kanak diculik, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Luar Somalia dalam kenyataan menzahirkan solidariti dengan kerajaan dan rakyat Nigeria selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Mogadishu menggesa pembebasan "segera dan tanpa syarat" semua mangsa culik dan menyuarakan sokongan atas usaha Nigeria mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Afrika mesti kekal bersatu menentang keganasan dan dalam perlindungan orang awam,” menurut kementerian itu.
Serangan itu, yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata tempatan yang disebut sebagai penyamun, bermula pada malam Khamis dan berterusan hingga pagi Jumaat. Penyerang bermotosikal membakar bangunan dan menembak penduduk kampung Tungan Dutse ketika mereka cuba melarikan diri.
Nigeria berdepan ketidakstabilan berterusan, terutama di barat lautnya, iaitu lokasi Zamfara. Wilayah itu dibelenggu oleh serangan penyamun, penculikan dan pembunuhan yang menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal dan lebih ramai lagi berdepan risiko sama.
Kerajaan Nigeria telah mengerahkan tentera dan bekerjasama dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat untuk sokongan teknikal dan perkongsian perisikan.
Di sebalik usaha itu, pihak berkuasa terus bergelut dengan ancaman bertindih daripada kumpulan penjenayah bersenjata dan pemberontak.
-- BERNAMA-ANADOLU