MELAKA: Tiada kes strok haba direkodkan di Melaka setakat ini meskipun cuaca panas yang melanda ketika ini, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa dan menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas.
“Orang ramai juga digalakkan mengurangkan aktiviti luar, terutama pada waktu puncak panas, selain memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Wellness Hub Melaka Tengah di Alai, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 128 kes demam denggi direkodkan di negeri ini bagi tempoh 1 Jan hingga Minggu Epidemiologi ke-12, menunjukkan penurunan 63 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dan tiada kes kematian akibat denggi dilaporkan setakat ini.
“Situasi di Melaka ketika ini terkawal dan tiada wabak dilaporkan sejak lebih sebulan lalu hasil pemantauan berterusan di kawasan berisiko,” katanya.
-- LAGI
NGWE-HABA 2 (AKHIR) MELAKA
Sementara itu Ngwe berkata penubuhan Wellness Hub di peringkat komuniti dilihat sebagai langkah tepat dalam memperkukuh agenda mempromosi kesihatan, selaras dengan inisiatif Malaysia Sihat Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata kemudahan itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, program kecergasan berkumpulan serta saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan paras gula dalam darah.
“Kita turut menyasarkan penglibatan kira-kira 10,000 penduduk setempat menerusi inisiatif Wellness Hub ini selain akan diperluaskan ke daerah lain secara berperingkat," katanya.
Wellness Hub adalah inisiatif Kementerian Kesihatan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental, dan sosial masyarakat yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelbagai program kesihatan dan promosi gaya hidup sihat,
Dalam pada itu, Ngwe berkata projek parkir mekanikal di Hospital Melaka dijangka siap pada hujung bulan ini yang menyediakan lebih 60 petak parkir bagi membantu mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA