Skip to main content

Dunia

Indonesia batal pertunjukan bunga api Tahun Baharu, solidariti mangsa banjir Sumatera

Kerajaan Indonesia membatalkan pertunjukan bunga api sempena Tahun Baharu 2026 di Jakarta dan Bali sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir dan tanah runtuh di Sumatera yang meragut lebih 1,100 nyawa. -Gambar fail
Kerajaan Indonesia membatalkan pertunjukan bunga api sempena Tahun Baharu 2026 di Jakarta dan Bali sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir dan tanah runtuh di Sumatera yang meragut lebih 1,100 nyawa. -Gambar fail

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengumumkan pembatalan pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2026 di beberapa wilayah utama termasuk Jakarta dan Bali, sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir dan tanah runtuh yang meragut lebih 1,100 nyawa di Sumatera.

Jurucakap Pejabat Presiden, Prasetyo Hadi, berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati mangsa tragedi yang melanda wilayah Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh, di mana ribuan penduduk masih terjejas dan kehilangan tempat tinggal.

Beliau berkata langkah kerajaan wilayah mengharamkan atau menggesa orang ramai supaya tidak membakar bunga api semasa sambutan Tahun Baharu adalah wajar dan tepat.

“Ia adalah langkah yang tepat kerana kita perlu menunjukkan empati dan solidariti sebagai sebuah negara terhadap mereka yang terkesan akibat bencana.

"Ini masa untuk kita bersatu dalam duka dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Di Medan, pentadbiran bandar membatalkan Festival Akhir Tahun selepas menerima kritikan daripada penduduk yang menganggap sambutan itu tidak sensitif terhadap penderitaan mangsa bencana.

Ketua Agensi Pelancongan Medan, Odi Aggia Batubara, berkata program tersebut akan digantikan dengan aktiviti keagamaan dan tayangan video kesedaran alam sekitar serta usaha pemulihan pascabencana.

Langkah sama turut diambil di Bali, di mana pihak berkuasa tempatan dan pasukan keselamatan telah mengharamkan sebarang pertunjukan bunga api dan menasihatkan pelancong serta penduduk agar menyambut Tahun Baharu secara sederhana.

Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Sumatera awal Disember lalu telah menyebabkan kemusnahan besar, dengan lebih 400,000 orang terpaksa dipindahkan.

Beberapa kampung dilaporkan lenyap sepenuhnya akibat arus deras dan runtuhan tanah.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan operasi bantuan kemanusiaan dan pemulihan infrastruktur, manakala masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan turut melancarkan kempen derma dan sukarelawan bagi membantu mangsa.






 

Topic Berkaitan

Must-Watch Video