NEW DELHI: Pemimpin Pakistan dan Iran pada Khamis membincangkan ketegangan serantau yang semakin meningkat susulan peningkatan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Iran.
"Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan situasi serantau dan bersetuju bahawa dialog berterusan serta penglibatan diplomatik adalah penting bagi keamanan, keselamatan dan pembangunan di rantau ini," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam satu hantaran di X selepas mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar turut mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan menegaskan bahawa dialog serta diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan ke hadapan yang berdaya maju.