KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran menyifatkan pelantikan beliau sebagai satu cabaran besar, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, rakyat memasang harapan yang tinggi untuk melihat gerak kerja barisan Kabinet baharu ini.
“Ini satu cabaran yang besar kerana barisan Kabinet dan timbalan menteri ini semua akan menghadapi PRU dan harapan rakyat terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Istana Negara hari ini.
Tambah beliau kerjasama antara semua pihak di peringkat kementerian amat penting untuk mengangkat agenda Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nestle Omega
Yuneswaran merupakan antara lapan timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.
Selain itu, tujuh menteri turut mengangkat sumpah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pagi tadi.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan rombakan kabinet kali ketiga melibatkan 10 menteri dan 18 timbalan menteri.
Yuneswaran menggantikan K Saraswathy yang digugurkan daripada barisan Kabinet kali ini.
Tahun 2026 akan menandakan permulaan dua tahun terakhir Parlimen Malaysia ke-15 yang sidang pertamanya pada 19 Disember 2022 dan akan dibubarkan secara automatik pada 19 Disember 2027.